Sunday, May 9, 2010

PERAYAAN PESTA KAAMATAN
























Perayaan Pesta Kaamatan ke-VI peringkat Paroki Katedral St.Mary, Sandakan telah diadakan pada 1-2 Mei 2010, bertempat di Gereja Our Lady of Fatima, Beluran.
Tema Perayaan ialah “BUDAYA BERKOMUNITI BERPUSATKAN KRISTUS”. Perayaan seperti Kaamatan merupakan satu perayaan yang menghimpunkan umat dari pelbagai kaum, bahasa dan budaya. Melalui perayaan seperti ini, komuniti digerakkan untuk membudayakan ajaran Kristus – bahawa Dia-lah pokok untuk ranting dan kepala bagi tubuh. Tema ‘ Budaya Berkomuniti Berpusatkan Kristus’ menganjurkan agar komuniti yang berhimpun melalui perayaan ini benar-benar sedar dan mahu menjadikan Kristus sebagai PUSAT bagi komuniti tersebut dan harus direalisasikan melalui perayaan komuniti seperti ini.
Pada 1 Mei 2010, pelbagai acara sukaneka telah diadakan yang disertai oleh empat buah gereja iaitu Katedral St. Mary, Gereja St. Mark, Gereja St. Paul dan Gereja Our Lady of Fatima. Suasana bertambah meriah dengan kehadiran Bapa Uskup Julius D. Gitom dan Rev. Fr. Thomas Makajil. Antara acara sukaneka yang dipertandingkan ialah lumba rampanau, selipar gergasi, berlari dalam guni, mipulos, melastik, menyumpit dan tarik tali. Acara dibahagikan kepada kategori kanak-kanak dan kategori dewasa.

Pada 2 Mei 2010, pagi dimulai dengan Misa Kudus yang dirayakan oleh Rev. Fr. Thomas Makajil. Suasana penuh adat tradisi dengan rombongan gabungan empat gereja berpakaian suku kaum Kadazandusun dan upacara simbolik menuai padi oleh Paderi bersama 4 orang pemimpin gereja. Pada sebelah petang dipenuhi dengan acara persembahan koir gabungan, tarian tradisi, pertandingan mitagunggu, pondok tradisi, panjat tiang licin, mipulos akhir, tarik tali akhir dan cabutan tiket bertuah. Gerai-gerai menjual pelbagai makanan dan minuman. Ratusan pengunjung telah datang menyaksikan dan memeriahkan lagi pesta kaamatan ini. Johan keseluruhan acara sukaneka ialah Gereja Our Lady of Fatima. Gereja St. Paul telah diumumkan sebagai tuan rumah Perayaan Pesta Kaamatan ke-VII peringkat Paroki Katedral St. Mary, Sandakan pada tahun depan. Acara Perayaan Pesta Kaamatan diakhiri dengan doa penutup yang dipimpin oleh Rev. Fr. Thomas.