Saturday, October 2, 2010

GAMBAR PENTAHBISAN USKUP












1 Oktober 2010 - Upacara Misa Kudus Pentahbisan Uskup Most Rev. John Wong Soo Kau sebagai Coadjutor Archbishop, Diosis Kota Kinabalu telah diadakan di Katedral Sacred Heart yang diketuai oleh Archbishop Datuk John Lee. Turut hadir ialah Delegasi Apostolik Thailand, Singapora dan Brunei.

MISA KUDUS SEMPENA PENUBUHAN FRATERNITI SECULAR FRANCISCAN ORDER (SFO) BELURAN









25 September 2010, OLOF Beluran - Satu Misa Kudus khas telah diadakan sempena penubuhan Secular Franciscan Order (SFO) Beluran. Ia dirayakan oleh Rev. Fr. Thomas Makajil bersama Friar Aru. Misa ini bermula pada jam 9.00 pagi yang turut disaksikan oleh rombongan dari Fraterniti SFO St. Mary, Sandakan, Fraterniti SFO Papar, Fraterniti SFO St. John, Tuaran, Fraterniti SFO Stella Maris, Fraterniti SFO Labuan, Fraterniti SFO Limbahau, Fraterniti SFO Sacred Heart, para Sisters, AJK MPUK OLOF dan umat Katolik Beluran. Setelah selesai Misa, semua ahli SFO Beluran mengadakan sesi bergambar bersama paderi dan jemputan. Jamuan makan bersama ahli-ahli SFO diadakan di Dewan Gereja sejurus selepas itu. Sebelum jamuan makan bermula ialah acara potong kek. Bagi memeriahkan suasana, rombongan Fraterniti SFO Papar telah membuat persembahan muzikal dengan menggunakan gabungan alat muzik tradisional dan moden seperti angklong, togungak, tamblar, xylofon (buatan tangan), saxofon dan gitar. Selepas itu, saudara Rafael H. Lindan mempersembahkan tayangan slaid berkaitan latar belakang SFO Beluran.

Sunday, September 12, 2010








UPACARA SAKRAMEN PENGUATAN
ditulis oleh En. Mathew Kiun, Komiti Dokumentasi & Publisiti, MPUK OLOF.

12.09.2010 (Ahad) - Satu Misa Kudus dirayakan bersama Bapa Uskup Julius Dusin Gitom, di mana dalam Misa Kudus ini seramai 21 orang telah menerima Sakramen Penguatan yang disaksikan semua umat Katolik yang hadir. Sebelum Misa bermula pada jam 10.30 pagi, semua calon penguatan dan penanggung masing-masing telah bersedia awal untuk upacara ini.

Sebelum itu, mereka telah melalui satu sesi rekoleksi pada hari sebelumnya iaitu pada hari Sabtu (11.09.2010) lagi bersama guru pembimbing mereka. Seterusnya aktiviti bergotong-royong untuk membersihkan kawasan perkarangan gereja dan dalam gereja bagi persiapan upacara tersebut.

Setelah selesai Misa Kudus, semua penerima Sakramen Penguatan, guru pembimbing, para penanggung dan umat Katolik makan secara 'potluck' bersama Bapa Uskup Julius di Dewan Gereja OLOF.

Thursday, September 9, 2010







HARI BAZAAR PAROKI ST. MARY, SANDAKAN

Kemeriahan semasa hari tersebut dapat digambarkan dengan kehadiran ramai pengerai dan pengunjung yang datang ke Hari Bazaar di Paroki St. Mary, Sandakan pada 15 Ogos 2010. Aktiviti jualan bermula sejurus selepas selesai Misa sehinggalah berakhir pada jam 4.00 petang. Pelbagai barangan yang dijual antaranya barangan religius, produk kesihatan, peralatan rumah, barangan komputer, buku/majalah terpakai, pelbagai jenis buah-buahan, kuih muih, ayam panggang, daging panggang, lauk pauk, pelbagai minuman, produk pertanian, produk ternakan, produk makanan laut, termasuklah makanan tradisi seperti bosou, tuhau, jeruk bambangan dan bermacam-macam lagi. Selain itu, terdapat juga permainan seperti 'Wheel of Fortune', tiket bertuah dan permainan ala-fun fair. Gambar di atas menunjukkan suasana semasa bazaar.

Saturday, May 22, 2010

DERMA DARAH




22 Mei 2010 - Komiti Badan Amal, MPUK Gereja Our Lady of Fatima, Beluran telah mengadakan Kempen Menderma Darah dari kalangan umat Katolik di Beluran. Unit Bergerak Perkhidmatan Transfusi Darah dari Hospital Beluran telah dijemput untuk menjalankan tugas mengambil darah yang diadakan di Dewan Gereja bermula jam 8 pagi sehingga jam 12.30 tengah hari. Seramai 17 orang umat Katolik telah menderma darah pada hari tersebut. Kempen Derma Darah ini diadakan 2 kali dalam setahun sebagai satu aktiviti amal bagi Gereja Our Lady of Fatima. Kempen seterusnya akan diadakan pada 21 Ogos nanti.

Sunday, May 9, 2010

PERAYAAN PESTA KAAMATAN
























Perayaan Pesta Kaamatan ke-VI peringkat Paroki Katedral St.Mary, Sandakan telah diadakan pada 1-2 Mei 2010, bertempat di Gereja Our Lady of Fatima, Beluran.
Tema Perayaan ialah “BUDAYA BERKOMUNITI BERPUSATKAN KRISTUS”. Perayaan seperti Kaamatan merupakan satu perayaan yang menghimpunkan umat dari pelbagai kaum, bahasa dan budaya. Melalui perayaan seperti ini, komuniti digerakkan untuk membudayakan ajaran Kristus – bahawa Dia-lah pokok untuk ranting dan kepala bagi tubuh. Tema ‘ Budaya Berkomuniti Berpusatkan Kristus’ menganjurkan agar komuniti yang berhimpun melalui perayaan ini benar-benar sedar dan mahu menjadikan Kristus sebagai PUSAT bagi komuniti tersebut dan harus direalisasikan melalui perayaan komuniti seperti ini.
Pada 1 Mei 2010, pelbagai acara sukaneka telah diadakan yang disertai oleh empat buah gereja iaitu Katedral St. Mary, Gereja St. Mark, Gereja St. Paul dan Gereja Our Lady of Fatima. Suasana bertambah meriah dengan kehadiran Bapa Uskup Julius D. Gitom dan Rev. Fr. Thomas Makajil. Antara acara sukaneka yang dipertandingkan ialah lumba rampanau, selipar gergasi, berlari dalam guni, mipulos, melastik, menyumpit dan tarik tali. Acara dibahagikan kepada kategori kanak-kanak dan kategori dewasa.

Pada 2 Mei 2010, pagi dimulai dengan Misa Kudus yang dirayakan oleh Rev. Fr. Thomas Makajil. Suasana penuh adat tradisi dengan rombongan gabungan empat gereja berpakaian suku kaum Kadazandusun dan upacara simbolik menuai padi oleh Paderi bersama 4 orang pemimpin gereja. Pada sebelah petang dipenuhi dengan acara persembahan koir gabungan, tarian tradisi, pertandingan mitagunggu, pondok tradisi, panjat tiang licin, mipulos akhir, tarik tali akhir dan cabutan tiket bertuah. Gerai-gerai menjual pelbagai makanan dan minuman. Ratusan pengunjung telah datang menyaksikan dan memeriahkan lagi pesta kaamatan ini. Johan keseluruhan acara sukaneka ialah Gereja Our Lady of Fatima. Gereja St. Paul telah diumumkan sebagai tuan rumah Perayaan Pesta Kaamatan ke-VII peringkat Paroki Katedral St. Mary, Sandakan pada tahun depan. Acara Perayaan Pesta Kaamatan diakhiri dengan doa penutup yang dipimpin oleh Rev. Fr. Thomas.